Diabetes, ancaman kepada wanita

Wanita hamil berisiko menghidap diabetes atau dipanggil Gestational Diabetes Mellitus.

KIra-kira 1.78 juta daripada 3.6 juta penghidap diabetes di negara ini adalah wanita, angka yang cukup mengejutkan memandangkan selama ini golongan Hawa antara yang mempunyai kesedaran tinggi dalam aspek penjagaan kesihatan.

Perkembangan itu, membuatkan golongan tersebut menjadi sasaran pada Hari Diabetes Sedunia yang disambut 14 November setiap tahun.

Tahun ini tema Wanita dan Diabetes: Kesihatan Kita, Milik Kita, Hak Kita dipilih dengan memfokus kepada wanita yang menghidap penyakit diabetes, pesakit diabetes yang hamil dan menghidap diabetes ketika hamil (Gestational Diabetes Mellitus atau GDM).

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Unit Penyakit Kardiovaskular dan Diabetes, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr. Feisul Idzwan Mustapha, tumpuan kali ini adalah kepada akses penjagaan dan didikan yang cukup supaya golongan tersebut mampu mengawal penyakit itu dengan baik.

Selain itu, katanya, wanita mengandung juga akan diberikan fokus yang sama dalam mendapatkan akses saringan, mendapatkan didikan dan penjagaan sebaiknya bagi kesihatan ibu dan anak dalam kandungan.

“Semua wanita hamil seharusnya membuat saringan untuk GDM yang perlu dilakukan pada 24 hingga 28 minggu kehamilan dengan modified OGTT (mOGTT).

“Secara umum, ujian saringan akan dilakukan kepada wanita hamil yang berisiko BMI (indeks jisim badan) mereka melebihi 27 kg (kilogram), bayi macrosomic yang beratnya melebihi 4 kg atau pernah menghidap GDM pada kehamilan sebelumnya.

“Selain itu, perhatian juga diberi pada mereka yang mempunyai saudara terdekat menghidap diabetes, pernah berhadapan dengan sejarah kematian janin di dalam kandungan yang tidak ketahui sebabnya, sejarah bayi mempunyai masalah kongenital, kandungan air kencing yang positif glukos dan masalah obstetrik terkini seperti tekanan darah tinggi dan sebagainya,” katanya.

Jelas Dr. Feisul Idzwan, Ibu yang didapati keputusan mOGTT tidak normal, sudah cukup untuk didiagnos sebagai GDM dan berisiko mendapat penyakit tersebut bagi kehamilan seterusnya.

Wanita yang mempunyai riwayat GDM mempunyai 3.2 lebih risiko untuk mendapat kencing manis daripada wanita yang tiada riwayat kencing manis.

GDM adalah keadaan sementara yang berlaku semasa mengandung dan memberi kesan kepada kira-kira dua hingga empat peratus daripada semua kehamilan yang melibatkan peningkatan risiko diabetes untuk kedua-dua ibu dan anak.

“Ibu hamil yang menghidap diabetes akan mengalami risiko tekanan darah tinggi, kenaikan kadar protein dalam air kencing dan pembengkakan atau edema, risiko bersalin pramatang, cecair ketuban yang berlebihan, jangkitan kepada buah pinggang dan sekitarnya atau alami keputihan.

“Bagi janin pula, diabetes menyebabkan pertumbuhan janin besar yang perlu dilahirkan secara pembedahan. Ini diakibatkan oleh aktiviti menerima gula berlebihan daripada ibu yang diubah menjadi protein dan lemak, sindrom gangguan pernafasan, kelainan jantung dan kematian mendadak dalam kandungan (sudden death),” jelasnya.

Katanya, wanita diabetes yang mahu hamil perlu diberi kaunseling sebelum hamil agar mereka dapat mengawal paras gula dalam darah dengan lebih baik kerana diabetes ialah penyakit kronik yang menjadi masalah besar di kebanyakan negara.

“Penyakit ini sekiranya tidak dirawat atau diurus dengan baik, boleh menyebabkan pelbagai komplikasi termasuk penyakit jantung, strok, penyakit buah pinggang, buta, masalah ereksi atau mati pucuk bagi lelaki dan kerosakan saraf,” jelasnya.

Pada 2016, dilaporkan seramai 422 juta (8.5 peratus) daripada penduduk dunia yang berumur lebih 18 tahun ke atas adalah penghidap diabetes, yang mana daripada jumlah ini, 199 juta adalah wanita.

Selain itu, diabetes telah menyebabkan kematian 1.6 juta orang di dunia pada 2015. Lebih daripada 80 peratus daripada kematian akibat diabetes berlaku di negara-negara berpendapatan sederhana dan rendah.

Apa itu diabetes?

‘Kesihatan itu milik kita’, maka adalah perlu untuk masyarakat sedar bahawa kesihatan mereka adalah penting. Masyarakat perlu mengambil langkah proaktif dalam mengambil tanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri dan perlu memahami bahawa penjagaan kesihatan bukanlah menjadi tanggungjawab sepenuhnya staf kesihatan.

Dr. Feisul Idzwan Mustapha berkata, dengan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan sendiri, masyarakat akan mula mengambil berat mengenai kesihatan dan berusaha untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan seterusnya berjaya mencegah atau mengawal penyakit diabetes.

“Seseorang individu disifatkan menghidap diabetes apabila tahap gula di dalam darah adalah lebih tinggi dari normal. Ini berlaku apabila pankreas dalam badan tidak lagi menghasilkan insulin yang secukupnya atau badan tidak boleh menggunakan insulin dengan berkesan.

“Makanan yang dimakan bertukar menjadi gula di dalam badan dan insulin digunakan untuk membawa gula dalam saluran darah ke dalam sel dan tisu, di mana ia akan digunakan untuk membekalkan tenaga.

“Apabila badan kekurangan insulin, gula tidak boleh dibawa ke dalam sel dan tisu, menyebabkan paras gula dalam badan meningkat. Ini mengakibatkan kerosakan pada sel yang memerlukan glukosa untuk tenaga serta kerosakan organ dan tisu yang didedahkan kepada tahap glukosa yang tinggi,” kata Dr. Feisul Idzwan.

Dia juga memberitahu, terdapat beberapa jenis diabetes yang mana 90 peratus daripada pesakit menghidap diabetes jenis 2 yang berlaku apabila pankreas tidak menghasilkan insulin yang cukup atau apabila badan tidak berkesan menggunakan insulin yang dihasilkan.

Diabetes jenis ini biasanya berlaku dalam kalangan orang dewasa, walaupun kini semakin ramai kanak-kanak dalam populasi berisiko tinggi turut menghidap penyakit tersebut.

Diabetes jenis 1 pula biasanya didiagnos dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, yang berlaku apabila pankreas tidak dapat menghasilkan insulin, iaitu hormon yang mengawal jumlah glukosa dalam darah.

Selain itu, diabetes semasa hamil adalah keadaan sementara yang berlaku semasa mengandung.

Kumpulan berisiko
 tinggi diabetes

  • * Berketurunan India.
  • * Mempunyai berat badan berlebihan atau obes.
  • * Mempunyai sejarah:
  1.  Ibu bapa atau adik-beradik menghidap diabetes
  2.  Komplikasi kesihatan yang berkaitan dengan diabetes
  3.  Melahirkan seorang bayi yang beratnya lebih daripada 4 kg
  4.  Menghidap diabetes semasa hamil (Gestational Diabetes Mellitus atau GDM)
  5.  Impaired glucose tolerance atau Impaired fasting glucose
  6.  keadaan transisi/peralihan antara sihat dan diabetes
  7.  Penyakit tekanan darah tinggi atau hipertensi
  8.  Masalah kolesterol atau lemak lain yang tinggi di dalam darah
  9.  Wanita yang didiagnosis dengan penyakit Policyestic Ovarian Syndrome.

Tanda-tanda dan 
gejala diabetes


* Dahaga yang luar biasa.

* Kerap membuang air kecil.

* Perubahan berat (berlebihan atau berkurangan).

* Keletihan melampau atau kekurangan tenaga.

* Penglihatan yang kabur.

*Jangkitan yang kerap atau berulang.

* Luka dan lebam yang lambat sembuh.

* Kebas di tangan atau kaki.

* Bermasalah untuk menghasilkan atau mengekalkan ereksi

Sumber :  Utusan.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *