Fesyen terkini remaja perempuan

Rekaan santai, comel dan menarik dalam koleksi Schmiley Mo, menjadi taruhan pereka kelahiran Jakarta, Indonesia, Diana Rikasari dalam menampilkan fesyen terkini buat remaja perempuan.

Koleksi ini yang sememangnya mencerminkan stail peribadi Diana cukup ringkas, namun memiliki kekuatan tersendiri apabila dia berani menampilkan koleksi pertamanya dengan konsep unik seumpama ini.

Dengan rona lembut sebagai inspirasi, koleksi Schmiley Mo mencetus keunikan pada pelancaran pertama koleksi itu di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2016, baru-baru ini.

Simbol senyuman dan variasi makanan dan minuman menguasai koleksi Schmiley Mo, membuatkannya lebih comel, sesuai untuk mereka yang berani dan trendy, manakala ropol dan lencana pula ditampilkan sebagai stail tersendiri Diana Rikasari.

Fokus koleksi pertama Schmiley Mo ini pada palet warna pastel dengan kombinasi warna garang bersama kejutan elemen yang sangat unik.

Bercirikan rekaan longgar, Diana memastikan setiap koleksi bukan saja bersesuaian dengan setiap bentuk badan wanita, malah senang disuai padan.

Koleksi ini merangkumi pilihan jaket, baju, seluar, gaun dan skirt. Keseluruhannya, koleksi ini sungguh versatil dengan sentuhan elemen gembira yang menyeronokkan.

Satu-satunya jenama Indonesia yang ditampilkan pada acara peragaan fesyen itu, Schmiley Mo ialah jenama yang bakal mewarnai dunia fesyen negara dengan keunikan dan pendekatan tersendiri.

Menariknya, walaupun koleksi Schmiley Mo kelihatan chic dan trendy, ia boleh disuai padan untuk wanita berhijab berikutan potongan sesetengah helaiannya yang longgar dan labuh.

Tidak seperti kebanyakan jenama menampilkan rekaan trendy seumpama ini yang hanya menumpu kepada mereka bertubuh kecil dan sederhana, Diana mahu memastikan mereka yang bertubuh besar atau saiz plus juga dapat menggayakan rekaannya.

Justeru, koleksi itu didatangkan dengan variasi saiz bermula XS hingga XXL dengan harga bermula dari RM99 hingga ke RM199.

Koleksi Schmiley Mo boleh didapati menerusi www.fashionvalet.com dan butik FashionValet di Kuala Lumpur dan Singapura.

 

Sumber:  hmetro.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *