Wanita lasak di laut

KUALA TERENGGANU: Keinginan dan minat wanita menyertai aktiviti selam skuba semakin meningkat, tetapi sebilangan mereka tidak dapat mempelajarinya secara serius disebabkan kekangan batas pergaulan.

Senario itu mencetuskan idea kepada pengasas Muslimah Divers, Mastura Abdul Manap, 34, menubuhkan pusat latihan bagi wanita belajar dan mendapat persijilan menjadi penyelam profesional.

Ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, Muslimah Divers dibuka lima tahun lalu, kini menjadi platform terbaik kepada wanita melakukan aktiviti lasak itu dengan lebih selesa.

Mastura berkata, penubuhan Muslimah Divers bermula apabila sering mengikut suaminya Ahmat Najah Rahmat, 40, pemilik syarikat menjual barangan dan perkhidmatan latihan selam skuba, Scubatex Resources Sdn Bhd, menjalankan aktiviti menyelam.

“Idea ini tercetus apabila saya kerap pergi menyelam bersama suami. Ramai rakan wanita berminat melakukan aktiviti ini, tetapi hasrat ‘terencat’ apabila mengetahui tenaga pengajar terdiri daripada jurulatih lelaki.

“Memandangkan suami saya memiliki syarikat yang menyediakan khidmat latihan selam skuba dan peralatan selam skuba, saya fikir kenapa tidak saya sediakan khidmat itu.

“Di sinilah bermulanya saya mewujudkan Muslimah Divers. Saya mahu menggalakkan wanita Muslimah terbabit dalam aktiviti selam skuba dengan cara yang menepati syariat,” katanya.

Beliau ditemui ketika Program Kelestarian Ekopelancongan dan Record Dive Longest Underwater Human Chain di Pulau Bidong, Terengganu, baru-baru ini.

Mastura berkata, bertitik tolak daripada itu beliau mempelajari teknik selam skuba daripada suaminya dan dengan kemahiran itu boleh mengajar wanita lain yang berminat melakukan aktiviti sama.

Beliau melatih beberapa wanita untuk menjadi jurulatih untuk mengajar lebih ramai wanita yang ingin mendapatkan persijilan selam skuba itu.

“Suami menjadi pendorong termasuk membantu saya mengenal pasti jurulatih selam skuba profesional wanita untuk menyertai Muslimah Divers bagi melatih mereka yang berminat.

“Sehingga kini, saya mempunyai tujuh jurulatih dan dua daripada mereka adalah dive master.

“Seramai 100 penyelam wanita mendapat sijil dikendalikan kami,” katanya yang mengenakan yuran antara RM1,000 hingga RM2,000 mengikut pakej dan lokasi.

Mastura berkata, selain melatih wanita menyertai aktiviti sukan skuba, pihaknya juga aktif melakukan beberapa program khidmat masyarakat terutama membabitkan aktiviti pembersihan dasar laut dan terumbu karang.

Beliau berkata, Muslimah Divers juga memberi pendedahan kepada ahli mengenai cara menunaikan solat dan mengenal pasti waktu solat sekiranya berada di tengah laut.

“Untuk menjadi penyelam profesional, biasanya kita akan menjalankan beberapa sesi latihan sebelum ke pulau selama empat hari untuk menyiapkan latihan dan kelulusan persijilan melalui ujian praktikal dan teori.

“Selain pembersihan dasar laut, kami juga menurunkan tukun tiruan untuk pembiakan terumbu karang, menjalankan aktiviti usrah serta ceramah berkaitan aktiviti skuba syariat,” katanya.

Sementara itu, ahli Muslimah Divers, Emma Ali, 43, dari Kuala Lumpur berkata, beliau sudah mengikuti aktiviti selam skuba sejak 2012.

“Saya bermula dengan snokerling dan apabila melihat banyak khazanah laut yang cantik, saya teringin meneroka lebih lagi ke dalam laut.

“Sejak itu saya mengambil lesen selam skuba dan menyertai program yang dijalankan oleh Muslimah Divers ini,” katanya.

Emma berkata, Muslimah Diver memberi keselesaan kepada wanita yang menggemari sukan ekstrem.

“Muslimah Divers mengumpulkan ramai wanita yang meminati aktiviti lasak ini. Selain kita dapat menyelam bersama-sama ke lokasi menarik, kami juga dalam masa sama memperoleh rakan baharu,” katanya.

Sementara itu, Zarihan Isa, 42, berkata Muslimah Divers memberi keselesaan kepada wanita untuk melakukan aktiviti lasak.

“Saya memang gemar melakukan aktiviti lasak termasuk mendaki gunung dan menyelam. Apabila menyertai aktiviti dilakukan Muslimah Divers ini saya rasa seronok dan selesa.

“Jika dahulu kebanyakan jurulatih adalah lelaki, ramai wanita segan untuk mengambil lesen selam skuba.

“Apabila wujudkan Muslimah Divers, sesiapa sahaja yang gemar aktiviti ini dapat mengambil lesen tanpa rasa malu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *